Jamal Abdillah Bersedia Jika Ditimpa Musibah


KUALA LUMPUR – Penyanyi Jamal Abdillah sudah lama membuat persediaan jika masa depannya gelap sekiranya jatuh sakit atau berlaku apa-apa musibah lain sehingga tidak membolehkan dia menyanyi lagi.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, sejak lapan tahun lalu dia telah memulakan pelbagai perniagaan seperti menjual produk kesihatan, kosmetik serta menyertai beberapa pelaburan lain demi kestabilan hidup.

“Dalam kerjaya saya, suara merupakan ‘produk’ utama yang harus dijaga.

“Saya juga tahu satu hari nanti saya mungkin tidak dapat menggunakan bakat yang diberikan Allah ini. Dan sejak lapan tahun dulu saya sudah mula mendalami bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi setakat ini saya memiliki beberapa buah perniagaan termasuklah melabur di bursa saham. Saya jadikan ia sebagai sumber pendapatan selain untuk simpanan masa depan saya,” katanya.

Jamal ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan di Dewan Merdeka di sini pada Rabu.

Tambah Jamal, dia juga baharu saja menceburkan diri dalam pelaburan hartanah dan mencadangkan kepada orang ramai agar mengikut jejaknya jika ingin melaburkan wang mereka.

Dalam pada itu Jamal turut bersyukur kerana sehingga kini dikurniakan Allah kesihatan yang baik tanpa sebarang penyakit serius.

“Syukur Alhamdulillah kerana saya tidak mempunyai penyakit serius seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung walaupun ada keturunan saya mudah mendapat penyakit tersebut.

“Sebab itulah saya amat berjaga-jaga dan tidak mahu terlalu berlebih-lebihan jika menikmati makanan. Kerana makanan biasanya menjadi punya segala penyakit,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jamal bakal mengadakan persembahan konsert di Hotel Permai Kuala Terengganu pada 4 Oktober depan.

Sementara itu, mengenai majlis rumah terbuka PWTC, penyanyi Ramli Sarip turut hadir membuat persembahan menghiburkan kira-kira 2000 tetamu yang hadir.

Majlis bertemakan santai itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah Jaafar. – mStar

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kang odis - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger