
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membantah tinggalan sejarah candi di Kedah dipindahkan ke tapak lain semata-mata mahu memberi laluan kepada pembangunan komersial oleh pihak swasta.
Beliau mendakwa, langkah itu tidak menepati amalan galian arkeologi iaitu perlu dilakukan di tempat asal, kecuali jika terdapat objek-objek seperti pasu atau figura tanah liat yang boleh dipindahkan untuk tujuan pameran di muzium.
“DAP sangat terperanjat dengan cadangan memindahkan binaan-binaan penting dari lokasi ketamadunan tua Lembah Bujang yang berselerak dalam kawasan seluas 200 kilometer ke suatu lokasi tunggal.
“Langkah memindah atau mengubah struktur dari kedudukan asal membawa risiko menukar bentuk, menghilangkan malah mengurangkan nilai kepentingan sejarah yang begitu unik terhadap tapak asal yang dipilih oleh penduduk asli kawasan tersebut 2,000 tahun lalu,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Guan Eng dalam pada itu membidas Pejabat Tanah Merbok kerana didakwa memberi kebenaran kepada pihak pemaju swasta untuk membangunkan kawasan candi berkenaan yang akan mengakibatkan kehilangan warisan sejarah negara.
Justeru, beliau berharap kerajaan Persekutuan menubuhkan pejabat-pejabat warisan di negeri-negeri yang kaya dengan tapak arkeologi seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka untuk menangani isu itu.
“Saya cadangkan supaya kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera bagi menyenaraikan Lembah Bujang sebagai sebuah tapak warisan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.
Posting Komentar