PASIR PUTEH – Kepantasan jiran tetangga bertindak berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Lembah, Semerak di sini petang semalam.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, Wan Lena Wan Said, 94, yang uzur, tinggal bersendirian selepas anaknya Wan Zainab Idris, 56, keluar mencari daun nipah bersama-sama suami Mohd Rashid Dollah, 58.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan, kebakaran itu disedari oleh beberapa jiran yang kemudian meluru masuk ke dalam rumah dan mendukung warga emas berkenaan keluar dari rumah berkenaan.
“Sebuah jentera bomba dan enam anggota yang tiba berjaya mengawal kebakaran daripada memusnahkan keseluruhan rumah berkembar separuh papan itu dalam masa 15 minit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, kerugian dianggar RM10,000 manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seorang saksi Rosmawati Harun, 38, berkata kejadian itu disedari oleh beliau apabila melihat api sedang marak di sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Beberapa jiran memecah masuk untuk menyelamatkan warga tua berkenaan dan mengeluarkan beberapa barangan yang belum terbakar,” katanya.
Mohd Rashid bersyukur dan berterima kasih kepada jiran-jirannya yang prihatin menyelamatkan ibu mentuanya itu. – BERNAMA
Posting Komentar